Hidup dalam persekitaran yang udaranya tercemar dan kualiti airnya terjejas, ditambah pula dengan amalan gaya hidup moden yang tersasar; diet yang tidak sihat, kurang bersenam, tidur dan berehat, tekanan dan kegagalan mengawal emosi serta kelompongan spiritual, boleh menggandakan kemungkinan bagi sesiapa sahaja untuk diserang penyakit-penyakit di atas atau juga gejala-gejala lain yang seumpamanya.
Apabila gejala ini berlaku apakah yang anda lakukan? Mudah sekali. Anda akan menemui doktor atau ke farmasi, kedai singseh, malah ke kedai runcit di kaki lima jalan bagi mendapatkan ubatan dadah. Ini sudah menjadi rutin kehidupan dan masyarakat kita setiap kali gejala penyakit melanda.
`Ibuku, bapaku, nenekku dan datukku, semua mengambilnya', demikian bunyi sebuah iklan yang di radio, mempromosi sejenis dadah penenang kepala. Anda mungkin tidak terfikir, menyedari atau mempedulikan risiko mendatang yang mungkin menjelma setiap kali anda menelan ubat-ubatan dadah tersebut.
Akan tetapi, jika anda berkesempatan membaca buku Death by Prescription, anda pasti tersentak. Masalah yang mendepani Amerika Syarikat (AS) sekarang bukanlah, `dadah haram', tetapi `dadah yang dibenarkan'.
Anda mungkin berasa sedikit lega kerana angka besar ini berlaku di luar Malaysia. Namun hakikatnya kita semua tidak boleh memandang remeh, kerana masyarakat kita juga, sejak turun-temurun, dari generasi ke generasi dikenali sebagai pengambil dan pencinta ubatan dadah. Anda barangkali terpinga sejenak dan menggumal, ``Habis, dah tak ada ubatan lain.'' Benarkah begitu?
Pengarang buku ini, Dr. Ray D. Strand yang telah mendambakan diri selama lebih tiga puluh tahun dalam kerjaya sebagai seorang doktor perubatan, adalah di antara segelintir doktor MD yang secara berterus terang berani memperkatakan kesan dan bahaya preskripsi dadah terhadap kesihatan.
Falsafah beliau muktamad, ``Jika anda benar-benar perlu mengambil ubatan dadah, jadikan ia sebagai pilihan terakhir,'' tegasnya yang kini turut memasukkan beberapa nutrisi suplemen sebagai ganti ubatan dadah untuk pesakit-pesakitnya.
Beliau menyaran, agar pesakit tidak menyerahkan bulat-bulat kepada pengurusan Lembaga Makanan dan Dadah (Food and Drug Administration - FDA), in-dustri farmaseutikal, para doktor mahupun ahli-ahli farmasi ketika mendapatkan ubatan dadah.
Mereka perlu berwaspada dan mengambil tanggungjawab sendiri untuk melindungi diri dan orang tersayang. Ini kerana, `sistem' yang membentuk jalinan permintaan dan penawaran dalam industri farmaseutikal di AS ketika ini, tidak menyebelahi pesakit.
Oleh sebab kelemahan sistem ini, sejumlah ubatan dadah yang telah disahkan kesan negatifnya, masih boleh berada terus di pasaran. Umpamanya, ubatan bernama Seldane. Ubat ini hanya ditarik semula setelah 12 tahun berada di pasaran, meskipun diketahui adunan dadahnya, erythromycin - satu ramuan biasa untuk alergi, demam dan sakit tekak - boleh memberikan kesan luar jangka termasuk kematian mengejut.
Ubatan lain, Baycol yang boleh memberikan pelbagai kesan kerosakan, masalah ginjal, malah kematian, hanya ditarik dari pasaran sejak dua tahun yang lalu. Begitu juga dengan ubatan dadah seperti Rezulin yang terus digunakan secara berleluasa untuk mengawal diabetes, sedangkan ia terbukti dapat menjejaskan fungsi hati.
Dalam sesetengah kes, pengambilnya terpaksa melakukan pembedahan atau berakhir dengan kematian. Dadah ini telah menyebabkan kematian ribuan orang, tetapi malangnya masyarakat AS terpaksa menunggu selama beberapa tahun sebelum ia dilarang.
Selain daripada faktor kelemahan sistem dan organisasi pengurusan ubatan dadah, pengaruh iklan dan propaganda yang secara berleluasa dan berwenang-wenang memanipulasi emosi, sentimen dan kebuntuan masyarakat terhadap penyakit juga perlu dikawal.
Teknologi, pengetahuan dan pengalaman manusia tentang perubatan dan kesihatan telah berkembang maju. Tetapi malangnya, ketika manusia semakin memahami dan mendalami anatomi, fisiologi dan histologi tubuhnya sendiri, kecenderungan dan arus perdana dunia perubatan moden, mendorong mereka bergantung kepada ubatan dadah sintetik, untuk mendapatkan kesihatan dan kecergasan, sambil mengabaikan fungsi dan potensi biologikal sistem pertahanan semula jadi atau imunologi tubuhnya sendiri.
Kini, melalui klinik perubatan modennya, Dr. Ray Strand, giat mendidik dan memperkenalkan pesakitnya dan masyarakat dengan konsep cellular nutrition, iaitu suatu kaedah terapi pembaharuan sel yang berasaskan pengambilan nutrisi-nutrisi tertentu yang telah diuji secara klinikal bagi memperbaiki metabolisma, sistem endokrin dan seterusnya membolehkan tubuh mencapai homeostasis.
No comments:
Post a Comment